Riba Halal Jika Kerajaan Dengan Rakyat ?

Ada pihak yang datang kepada saya berkenaan isu PTPTN lalu berkata:

“bukankah tiada riba di antara negara atau kerajaan dengan rakyat, sebagaimana tiada riba antara tuan dengan hambanya”

Benarkah riba menjadi halal apabila ia melibatkan hamba dan tuannya. Maka demikian juga kerajaan dan rakyat?

Sebelum saya mengulas ringkas berkenaan sejauh mana benarnya pandangan tentang riba antara kerajaan dan rakyat yang dikatakan halal, terlebih baik jika kita dapat melihat asas yang cuba digunakan, iaitu riba antara hamba dengan tuan.

RIBA ANTARA TUAN DAN HAMBA

Benar, mazhab Hanafi berpendapat riba tidak diharamkan jika transaksi itu di antara hamba dan tuannya. Pandangan mazhab Hanafi ini ternyata dalam nas fatwanya: –
أن لا يكون البدلان ملكا لأحد المتبايعين , فإن كان (البدلان ملكا لواحد) لا يجري الربا , وعلى هذا يخرج العبد ..

Ertinya : “Antara syaratnya (untuk jatuh riba) mestilah badal (harta) itu tidak dipunyai oleh satu pihak sahaja, jika (ia dipunyai oleh satu pihak sahaja) maka tiadalah jatuhnya riba, justeru itu terkeluarlah hamba ” ( Badai As-Sonai’ie, Al-Kasani, 7/3129 )

Ringkasnya, asas pendapat Hanafi ini adalah kerana si hamba sebenarnya tidak boleh memilikinya hartanya sendiri, semua harta yang dimiliki oleh hamba sebenarnya milik tuannya.

Oleh kerana itu, tiada riba antara kedua-dua nya keran awnag hamab adalah wang tuan, dan wang si tuan juga wangnya juga. Maka tiada riba dalam hal wang satu pihak sahaja (iaitu si tuan).

MAJORITI MAZHAB TIDAK SETUJU

Namun, pandangan ini bertentangan dengan pendapat mazhab-mazhab lain yang berfatwa haramnya tetap sama. Imam Ibn Hazm dengan tegas menolak dengan dalil Saiyidina Hussain bin Ali pernah menerima hadiah kambing dari seorang hamba, apabila mengetahui ia dari seorang hamba, Hussain memulangkannya kembali tetapi kemudian hamba tersebut mengatakan dengan jelas :-
إنها لي

Ertinya : Ia ( kambing) itu milikku.

Dengan penjelasan itu, Sayyidina Hussain menerima hadiah kambing itu. Ini jelas membuktikan sang hamba masih boleh memiliki harta, jual beli, memberi hadiah dan sebagainya. Kalau hamba tidak boleh memiliki, sudah tentu, Sayyidina Hussain akan tetap menolaknya. ( Al-Muhalla, 8/515)

Apabila hamba dikitiraf boleh miliki harta secara berasingan dari tuannya, sudah tentulah riba tetap boleh berlaku di antara sio hamba dan tuannya.

Hal ini dikuatkan lagi oleh Imam An-Nawawi berkata :-
يستوي في تحريم الربا الرجل والمرأة والعبد والمكاتب بالإجماع..

Ertinya : Sama taraf hukumnya dalam pengharaman riba sama ada antara lelaki dan wanita, hamba, hamba yang tertulis ( untuk bebas) secara ijma’..” ( Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, 9/442 )

BAGAIMANA PULA RIBA ANTARA KERAJAAN DAN RAKYAT?

Jika dilihat perbincangan di atas tadi, jelas kepada kita memang benar mazhab Hanafi berbeza fatwanya dengan majoriti mazhab dalam hal riba antara tuan dan hamba.

Walaupun demikian, pandangan yang lebih kuat adalah masih BERLAKU riba antara keduanya, ia juga merupakan pandangan majoriti ulama dan mazhab.

Namun wujud di zaman moden ini individu yang cuba menghalalkan riba yang dikenakan oleh kerajaan kepada rakyat dan cuba mengambil hujjah mazhab hanafi berkenaan “tuan dan hamba”.

Objektif di sebalik pandangan ini adalah untuk membenarkan sebuah bank yang dimiliki kerajaan atau pihak kementerian memberi pinjaman wang kepada rakyat dengan riba, atau meminjam wang dari pelabur dari kalangan rakyat lalu memberikan pulangan riba kepada mereka. Dengan itu ia dianggap halal kerana kononnya ia boleh diqiyaskan kepada fatwa mazhab Hanafi iaitu kes riba di antara hamba dan tuan.

QIYAS YANG MENYELEWENG?

Adakah ini qiyas yang benar?.

Sudah tentu tidak. Mazhab Hanafi tadi menganggap ia harus kerana bagi mereka sang hamba tidak punyai kapasiti untuk memiliki harta sendiri, kerana semua miliknya adalah untuk tuannya.

Jelas sekali sifat ini tidak relevan dengan rakyat, rakyat bukannya hamba. Harta rakyat juga tidak boleh diusik sewenang-wenangnya oleh kerajaan. Semua individu rakyat memiliki kapasiti khusus yang diiktiraf Islam untuk menjual, membeli, menyewa, melabur dan lain-lain dengan hartanya. Tanpa sebarang campur tangan kerajaan. Kerjaana hanya berhak mementukan undang-undang dan prasarana sesuai agar setiap transaksi terjaga dari eksploitasi dan penipuan.

Kerajaan tidak boleh campur tangan jika individu rakyat ingin membeli rumah di Kajang, di Damnsara dan sebagainya. Ia berlainan sama sekali dengan si hamba yang tidak boleh membeli rumah sendiri kecuali dengan arahan si tuan.

Tegasnya, rakyat bukan hamba yang dimiliki oleh kerajaan. Tidak sama sekali, malah kerajaanlah khadam dan hamba yang perlu berkhidmat untuk rakyat.

Kesimpulannya, pandangan yang cuba mengharuskan riba antara kerjaaan dan rkayat adalah tertolak dan tidak berasas sama sekali. Hal ini juga telah ditegaskan oleh Dr. Sami Hammud dan Prof Dr. Yunus Al-Masri dalam kajian mereka. (Al-Jami fi Usul Al-Riba, hlm 202-204 ; Tatwir Al-A’mal Al-Masrafiah, hlm 201-205 )

Justeru, PTPTN tetap riba walaupun ia antara kerajaan dan rakyat, ini berdasarkan fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa dan ulama yang pakar dalam bidang kewangan Islam dengan hujjah-hujjah yang amat jelas dan terperinci.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: